Sabtu, September 25, 2010

Kiblat di Tambunan

Bismillah...

Bermulalah musafir saya ke beberapa daerah bagi gerak kerja menentukan arah kiblat. Jadual telah disusun dan memulakan langkah pada 23hb September 2010 (Rabu) ke daerah tambunan bagi menentusahkan 2 buah lokasi iaitu :

1. Hospital Daerah Tambunan :

Hospital daerah ini terletak sebelum pekan Tambunan jika melalui jalan gunung emas. Bangunannya tidaklah terlalu besar dan saya beranggapan ianya lebih kurang seperti Hospital daerah Beluran.

Hospital ini adalah hospital pertama yang memohon untuk ditentukan kiblat setelah pihak pejabat kami menerima surat daripada Kementerian Kesihatan bahawa semua hospital - hospital di negeri Sabah ditentukan kiblat.

Saya telah disambut oleh beberapa orang staf hospital tersebut. Segala keperluan sepertimana yang telah saya maklumkan telah tersedia.

Pemerhatian awal apabila saya sampai ke lokasi hospital ini adalah kedudukan orentasi bangunan hospital kerana ini juga salah satu faktor bagi saya untuk menentukan kaedah yang sesuai dalam penentuan kiblat.

Alhamdulillah, kedudukan orentasi bangunan adalah selari dan sama. Kaedah yang saya gunakan iaitu dengan menggunakan kedudukan azimuth matahari atau lebih dikenali sebagai kedudukan terbitnya matahari.

Perhitungan telah dibuat dan alat penanda telah diukur untuk digunakan bagi menandakan arah kiblat agar stiker kiblat dapat dilekat dengan tepat berdasarkan bering arah kiblat.

Hampir keseluruhan bangunan hospital tersebut ditentukan kiblatnya seperti surau, wad lelaki dan perempuan, bilik makmal, kaunter ubat, wad hemodylysis, ruang menunggu dan sebagainya dan secara keseluruhannya adalah sebanyak 26 tempat di hospital tersebut.

Mungkin ada yang tertanya kenapa wad atau ruang menunggu pun ditentukan kiblatnya. Ini adalah permintaan mereka dan ada baiknya kerana sekurang - kurang tertegak juga syiar di hospital tersebut.


Terima kasih kepada staf yang memberikan kerjasama dan layanan yang baik kepada kami.

2. Mosalla Al-Taqwa, Puncak Damai :

Lokasinya terletak di gunung Emas iaitu perjalanan antara daerah Penampang dan Tambunan. Mosalla tersebut bersebelahan dengan Restoran Azam tetapi restoran tersebut telah ditutup dan akan diambil alih oleh orang lain.

Mosalla tersebut adalah tempat persinggahan untuk menunaikan solat bagi mereka yang melalui jalan Kota Kinabalu ke Tambunan. Saya pernah solat sebelum ini yang mana mosalla ini masih lagi bangunan kayu berbanding sekarang yang telah berkonkrit sepenunhya dan cantik.

Permohonan kami terima daripada pengurusan Restoran Azam, Puncak Damai iaitu sahabat saya al-Fadhil Ust. Ahadin. Walaupun restoran tersebut telah ditutup namun beliau dan beberapa orang lagi adalah pemegang amanah kewujudan mosalla tersebut.

Kiblat Mosalla tersebut telah ditentukan kiblatnya dan penanda atau stiker kiblat telah dipasang di atas syiling Mosalla ini. Jika anda singgah ke Mosalla ini dan mendapati tanda arah kiblat ada di atas lantai maknanya tanda tersebut adalah salah dan anda kena ikut arah seperti yang telah ditanda dan dilekatkan di syiling Mosalla tersebut.




Alhamdulillah, musafir saya ke Tambunan untuk kerja - kerja penentuan arah kiblat berjalan lancar dan musafir berikutnya adalah ke daerah Sipitang.


0 ulasan:

Catat Ulasan